“Dia Melampau... Saya Dah Tak Tahan” - Luahan Ezlynn Berkaitan Suaminya
Ezlynn berkahwin dengan Adam pada 20 November 2011.
Ezlynn atau nama sebenarnya Azline Ariffin, 35, berkata, dia tidak mampu lagi untuk berselindung demi menjaga maruah suaminya.
"Cukuplah buat saya macam ni, saya simpan rahsia dia sudah lama.
Dulu, jika orang tanya, saya diam dan tidak mahu orang tahu perangai sebenar dia.
"Tapi sekarang dia sudah melampau. Saya sudah tidak tahan lagi, saya harap kes perceraian saya berjalan lancar," luahnya kepada mStar Online.
Ezlynn diminta mengulas tentang status laman sosialnya yang mendedahkan rumahnya dirompak oleh suami sendiri.
Tambah Ezlynn, kejadian berkenaan bukanlah kali pertama dilakukan oleh suaminya itu.
"Ini kali ketiga dia pecah masuk. Dia bukan tidak boleh cakap baik-baik kerana kunci ada pada kakak saya.
"Lagi pula barang yang dia ambil itu harta sepencarian, jadi selagi kes belum selesai dia tidak boleh ambil. Saya pun tidak tahu mengapa dia mahu ambil almari dan televisyen buruk itu, lebih baik dia beli sahaja yang baru.
"Sedangkan barang-barang dia yang saya sudah siap bungkuskan dia tidak mahu ambil pula," ujarnya.
Penyanyi Hi Hi Bye Bye memberitahu dia sudah pun membuat laporan polis terhadap kejadian berkenaan.
Sementara itu, usaha mStar Online untuk menghubungi Adam tidak berjaya kerana dia tidak menjawab panggilan dibuat.
Pada 20 April lalu, penyanyi itu memfailkan permohonan cerai cara baik terhadap suaminya mengikut Seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1984.
Bagaimanapun Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur menetapkan 23 Oktober depan untuk laporan hakam berhubung kes perceraian mereka selepas kedua-dua pihak tetap mahu meneruskan perceraian walaupun selepas melalui proses timbang tara.
Mereka mendirikan rumah tangga pada 20 November 2011 dan tidak dikurniakan cahaya mata.[mStar]