#TAHNIAH~15 tahun sulam cinta,akhirnya Nana Nurgaya berkahwin diusia 42 tahun
NANA Nurgaya tamat zaman solo sempena ulang tahun kelahirannya Disember lalu.
Pasangan ini diijabkabul di Masjid Al-Khairiyah, Taman Sri Gombak pada 13 Disember tahun lalu sempena tarikh ulang tahun kelahiran Nana.
Ketika ditemu bual, penyanyi bernama sebenar Nurgayah Abdullah ini seakan-akan dapat menyelami persoalan yang bersarang di minda pelbagai pihak dan mengakui baru menamatkan zaman solonya.
“Saya tak kecil hati dengan tafsiran orang kerana mereka tak tahu perkara sebenar. Ini memang perkahwinan pertama saya selepas bercinta 15 tahun dengan suami.
“Biarpun kenal ketika sama-sama belajar di universiti berbeza, jodoh kami lambat kerana masing-masing fokus pada pelajaran dan mengejar cita-cita terlebih dulu.
“Usia suami saya 36 tahun, tapi orangnya sangat matang.
Sebenarnya dua tahun lalu kami pernah merancang untuk berkahwin, namun terpaksa ditunda kerana bapanya sakit.
“Bagaimanapun, tahun lalu impian untuk kahwin kembali menyala. Tambah lagi ibu bapa saya memang nak lihat kami naik pelamin kerana saya anak sulung daripada dua beradik.
“Mereka yang bersungguh-sungguh merancang majlis ini kerana berhasrat nak mengumpulkan saudara-mara jauh dan dekat,” katanya ceria.
Nana yang pernah popular sebagai penyanyi rap pernah berkawan dengan lelaki lain, tetapi tidak mempunyai persefahaman.
Mohd Azwan lebih menepati ciri-ciri lelaki idaman dan seterusnya menjadi suaminya.
“Suami seorang yang setia dan kesetiaan ini buat saya terpikat kepadanya. Setakat bergaduh memang ada, tapi ia lumrah buat pasangan bercinta.
“Saya lega kerana kini bergelar isteri. Soal cepat atau lambat, itu semuanya ketentuan Allah. Saya juga tiada masalah untuk dapatkan anak cepat.
“Kalau boleh saya inginkan tiga anak sebagai penyeri rumah tangga kami. Alangkah bahagianya jika saya dikurniakan anak kembar,” katanya.
Membuka rahsia sebelum ini, Nana turut memberitahu sudah 10 tahun tidak pulang ke kampung halamannya di Pekan, Pahang kerana rimas disoal mengenai jodoh.
“Bukan saya tak nak berkahwin, tapi seperti yang dikatakan tadi jodoh kami lambat. Sekarang saya tiada masalah untuk pulang bertemu saudara-mara di kampung dan tak sabar untuk berbuat demikian,” katanya.
Mahu kembali aktif Imej pelik dengan gincu hitam, kundang dan hijau serta rambung bertocang halus membuatkan Nana yang pernah menghasilkan album berjudul Rentak Rancak Ala Puisi (RRAP) pada 1993 kekal diingati.
Selain itu, lakonannya menerusi siri Idaman 1 dan Idaman 2 pada penghujung 1990-an turut diingati peminat.
Sehingga kini, masih ada yang menegurnya setiap kali berjumpa dan bergambar kenangan.
“Baru-baru ini saya bersama suami serta keluarga mentua berjalan-jalan ke Pulau Pinang. Di sana, ada peminat yang menyapa saya dan minta untuk bergambar. Ini agak mengejutkan kerana tak sangka saya masih diingati.
“Sedikit sebanyak, ia memberi perangsang untuk saya kembali menyanyi dan menghasilkan single terbaru.
Sekiranya ada rezeki, saya nak tampilkan semula lagu berkonsep seperti dulu. “Lagipun fenomena sekarang menyaksikan setiap orang boleh menghasilkan single jika ada kemahuan.
Dalam pada itu, saya juga berhasrat kembali aktif berlakon sekiranya ditawarkan watak dan skrip sesuai.
Suami juga tak halang minat saya,” katanya. Nana yang pernah popular dengan lagu Takkan Melayu Hilang Di Dunia,
Inikah Cinta dan That’s All I Need kini mengusahakan perniagaan sendiri dalam pembuatan kek dan berhasrat mengembangkan kepada pembuatan kuih tradisional pula.[myMetro]