#VIDEO MUZIK ~ 'Saya mahu lebih wow' - DSV
Keputusan pengasas produk kecantikan, Datuk Seri Vida mencuba nasib sebagai penyanyi dan hadir dengan single sulungnya, I Am Me menjadi perbualan hangat.
Siapa sangka, walaupun ramai mengkritik lagu itu, ia mendapat tempat di hati penggemar muzik tanah air.
Di YouTube, video lirik I Am Me ditonton lebih 7.6 juta kali dalam tempoh sebulan selepas dimuat naik.
Bagi Vida atau nama sebenarnya Datuk Seri Hasmizah Othman, 45, dia kini sedang mempersiapkan diri untuk merakamkan video muzik rasmi I Am Me.
“Saya akan menggunakan khidmat Ghaz Abu Bakar yang memang dikenali sebagai pengarah video muzik lagu-lagu popular dan filem.
“Untuk video muzik I Am Me, akan ada kelainan yang ditampilkan berbanding video muzik lain yang pernah dihasilkan,” katanya.
Ditanya mengenai konsep dan idea, Vida punya konsep di luar kotak.
“Idea asal daripada saya sendiri dan Ghaz akan menterjemahkannya dalam bentuk visual. Saya ingin menghasilkan video muzik seperti penyanyi antarabangsa, Katy Perry.
“Jadi, satu cabaran buat Ghaz untuk merealisasikan idea itu. Bukan sekadar video muzik, akan ada jalan cerita yang diterapkan supaya berjaya menarik minat menonton,” katanya.
Vida turut memaklumkan, proses penggambaran video muzik itu akan bermula pada 16 September ini.
“Proses penggambaran akan berlangsung selama dua hari di lokasi yang serba mewah, namun dirahsiakan kerana kemewahan adalah salah satu kriteria yang saya mahukan dalam muzik video I Am Me.
“Sebelum ini, saya sudah merakamkan video muzik untuk lagu ini tetapi tidak berpuas hati dengan hasilnya.
Saya mahukan sesuatu yang lebih ‘wow’ dan mampu menjadi inspirasi buat semua yang menonton,” katanya.
Ditanya mengenai pemilihan pelakon, video muzik I Am Me akan menampilkan aksi anaknya yang dikenali sebagai Cik B.
“Cik B pun semakin ramai pengikut di Instagram dan ada peminat sendiri.
Jadi, dia akan berlakon dalam video muzik lagu ini,” katanya.
Vida juga berharap agar video muzik baru itu mendapat tempat, sekali gus mencuri perhatian peminat muzik tanah air.
“Kalau video muzik antarabangsa seperti Psy dan Katy Perry mencecah jumlah berbilion tontonan, ia terlalu besar untuk saya capai.
“Pun begitu, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.
Jadi, kita sama-sama berdoa agar video muzik baru ini juga akan ditonton ramai orang,” katanya.[myMetro]