#SENSASI ~ Joy Revfa Fail Bubar Pernikahan Dengan Hafiz Hamidun
KEPINCANGAN rumah tangga penyanyi kerohanian Hafiz Hamidun dan isterinya, Joy Revfa, kini di tahap klimaks apabila isterinya memfailkan permohonan pembubaran pernikahan di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari di sini, pagi tadi.
Menurut Joy, tindakan itu dilakukan oleh sebab keraguan Hafiz terhadap pernikahan mereka. Joy atau nama sebenarnya Siti Arifah Mohd Amin, 30, berkata tindakannya itu adalah atas sebab statusnya sebagai isteri Hafiz yang sah.
“Saya kecewa apabila ada yang memperkatakan status pernikahan kami tidak sah.
Perkahwinan terdahulu saya berakhir pada 2015, cuma tidak didaftarkan di Malaysia.
“Hafiz sedia maklum mengenai perkara itu kerana dia sendiri yang membuat surat pengesahan perceraian.
“Tiba-tiba pada 23 Mei lalu, Hafiz membangkitkan perkahwinan kami tidak sah,” katanya dalam temu bual bersama pihak media di luar mahkamah selepas prosiding tamat, memetik laporan BH Online.
ISTERI PENYANYI HAFIZ HAMIDUN, JOY REVFA (KIRI) ATAU NAMA SEBENARNYA SITI ARIFAH MOHD AMIN 30, BERSAMA PEGUAMNYA, MUHAMMAD NUR HAFIZ ROSLAN (KANAN) HADIR KE MAHKAMAH BAGI MEMFAILKAN KES PEMBUBARAN NIKAH KERANA HAFIZ HAMIDUN MERAGUI PERKAHWINAN MEREKA DI MAHKAMAH RENDAH SYARIAH PETALING, SUBANG BESTARI. – FOTO BERITA HARIAN.
Apa yang lebih mengecewakan, menurut Joy, selepas mendakwa perkahwinan mereka tidak sah, Hafiz tidak lagi menganggapnya sebagai isteri.
“Saya tidak diberi nafkah zahir dan batin.
Sehubungan itu, saya berjuang untuk mempertahankan hak sebagai wanita,” katanya.
Namun, usahawati kosmetik itu tidak menganggap suaminya mempunyai motif atau sebarang agenda tersembunyi.
Dalam pada itu, Hafiz yang hadir sama di mahkamah pagi tadi turut memfailkan permohonan pembubaran nikah mereka.
Joy dan Hafiz bernikah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam, pada 1 Mei lalu.-MYNEWSHUB.CC